Tuesday, January 13, 2009

DAP MAIN WAYANG KULIT DI KT


PULAU PINANG 11 Jan. - Pertikaian pendapat dan sikap dolak-dalik pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang berhubung pelaksanaan hukum hudud tidak dapat diterima pengundi Cina di Kuala Terengganu.

Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai berkata, beliau amat yakin pengundi Cina akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil 17 Januari ini kerana mereka sememangnya menolak pelaksanaan hukum tersebut.

Katanya, DAP juga perlu memohon maaf kepada pengundi Cina di kawasan berkenaan kerana membuat kenyataan yang mengelirukan berhubung isu hukum hudud.

"Pendirian pakatan pembangkang dalam isu hukum hudud terutama DAP tidak konsisten. Pas mahu hudud, DAP tak setuju dengan Pas tetapi mahukan sokongan pengundi Cina dan juga mahu memenangi hati pengundi Cina.

"Apa ini? Mereka hanya main wayang kulit dan tidak meletakkan rakyat di hati. Kini, mereka sedang kelam-kabut dan tidak tahu apa yang patut dilakukan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA negeri di sini hari ini.

Tiong Lai yang melawat Kuala Terengganu baru-baru ini berkata, MCA sentiasa tegas dengan pendiriannya dalam isu berkaitan hukum hudud dan secara terus-terang menolaknya.

Beliau berkata, MCA akan memberi penjelasan kepada pengundi Cina bahawa hukum hudud tidak sesuai dalam konteks masyarakat dan budaya di negara ini yang bersifat majmuk.

Oleh itu katanya, pengundi Cina perlu memberi sokongan padu kepada calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh supaya kemenangan berpihak kepada BN kelak.

Katanya, sokongan pengundi Cina di Terengganu penting kerana ia dilihat dapat membantu mempertahankan sistem sedia ada, sekali gus mengelakkan keharmonian antara kaum yang dinikmati selama ini mengalami kehancuran.

"MCA kini giat menjalankan kempen memberi penerangan kepada pengundi Cina supaya mereka tidak dikelirukan dengan wayang kulit mainan pemimpin parti pembangkang," ujarnya.

Katanya, beliau juga amat gembira melihat reaksi pengundi Cina di Kuala Terengganu terhadap aktiviti yang dijalankan bersama Wan Ahmad Farid.

Biar pun suasana kempen di kawasan berkenaan agak sengit namun beliau yakin usaha calon BN dan komitmen ahli komponen parti yang lain memberi keyakinan BN mampu mempertahankan kawasan itu. - Utusan


p/s - bukan wayang kulit tapi Opera Cina......

No comments: