Sunday, December 28, 2008

Tuanku Ja’afar mangkat


YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pada pukul 11.45 pagi semalam. Baginda berusia 86 tahun.

Jenazah Almarhum baginda ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan esok selepas solat Asar. Pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diumumkan esok sebelum jenazah Almarhum Tuanku Ja’afar disemadikan di makam diraja Seri Menanti.- Utusan

p/s - Innalillahhiwainnalillahirajiuun. Mati adalah pasti, hidup insyaAllah.. Kami Umno Bukit Desa mendoakan moga ALLAH mencucuri rahmat ke atas Almarhum Tuanku Ja'afar dan di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al Fatihah...

Monday, December 22, 2008

Polis minta semua patuhi undang-undang


KUALA LUMPUR 21 Dis. - Polis meminta semua pihak yang terlibat dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini supaya mematuhi undang-undang dan peraturan bagi menjamin kelancarannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan telah diarah mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata, bagi pasukan polis, segala persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu berjalan lancar termasuk keperluan logistik dan keanggotaan mencukupi.

"Saya sudah melawat Kuala Terengganu baru-baru ini dan persiapan sedang dijalankan. Jika semua patuh kepada undang- undang, tidak akan timbul masalah pada pilihan raya kecil ini.

"Kita akan pastikan pilihan raya kecil ini berjalan dengan licin, saya telah arahkan Ketua Polis Terengganu (Shukri) buat keputusan bijak dan tegas berhubung pematuhan undang-undang," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan program merakyatkan seni budaya komuniti beruniform anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Pilihan raya kecil tersebut diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November lalu.

Sebelum ini, Shukri menganggarkan lebih 3,000 anggota polis akan bertugas semasa pilihan raya kecil itu dengan ditempatkan di pusat-pusat mengundi serta beberapa kawasan yang dikenal pasti. - Utusan

p/s: kepada Pemuda UMNO yang bakal menggempur KT.. bawak banyak bersabar. InsyaAllah kemenangan berpihak kepada BN.

Monday, December 1, 2008

Apa dosa melayu terhadap bukan melayu?

MENGAPA kaum bukan Melayu tidak henti-henti membangkitkan isu ketuanan Melayu dan apa sahaja perkara berkaitan Melayu?

Seolah-olah Melayu kini menjadi musuh bukan Melayu, lantaran apa sahaja yang menjadi milik Melayu termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan sentiasa dipersoalkan.

Apa dosa orang Melayu terhadap bukan Melayu? Apa kurangnya orang bukan Melayu jika dibandingkan dengan kedudukan orang Melayu yang merempat di tanah air sendiri.

Apa tuntutan bukan Melayu yang gagal dipenuhi kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan? Sengkek benarkah keadaan orang bukan Melayu di Malaysia sehingga tanpa henti mereka mempertikaikan hak orang Melayu.

Apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik tersuratnya tuntutan demi tuntutan agar hak orang Melayu dihapuskan dan tuduhan bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan.

Tentunya, orang bukan Melayu mahu orang Melayu bersaing dengan mereka tanpa sebarang keistimewaan kerana mereka tahu Melayu tidak akan mampu berbuat demikian.

Dalam keadaan dilimpahi pelbagai keistimewaan seperti yang didakwa oleh bukan Melayu, orang Melayu masih menguasai tangga teratas golongan paling miskin dengan tahap pendapatan di bawah RM1,000.

Malah pencapaian ekonomi orang Melayu pun masih lemah dan tidak dapat menandingi kekayaan orang bukan Melayu di negara ini. Begitu juga dengan kekuatan politik bangsa Melayu yang hakikatnya tidak sekuat mana menyebabkan ia menjadi mangsa ugutan serta hentaman oleh bukan Melayu.

Kelemahan Melayu yang amat ketara itulah hakikatnya yang mendorong bukan Melayu tidak henti-henti 'menyalak' dan menuntut supaya hak Melayu dihapuskan. Jelas matlamat mereka hanya satu - ingin melihat Melayu tersungkur di bumi sendiri sehingga akhirnya kuasa ekonomi menentukan masa depan politik.

Masalahnya orang Melayu hanya gemar bercakap, berhujah dan beretorik setiap kali bersuara untuk mempertahankan hak bangsa sendiri. Hanya laungan kata-kata berkumandang di sana sini namun tiada tindakan bersepadu dilaksanakan untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang kuat dan hebat. Segala keistimewaan yang termaktub di sisi Perlembagaan hanya dinikmati oleh segelintir Melayu yang 'bertuah' manakala Melayu serpihan terus dianaktirikan dan merempat di bumi sendiri.

Lebih menyedihkan ada kalangan Melayu yang turut menolak ketuanan Melayu dan tidak percaya kepada hak keistimewaan Melayu sedangkan manusia-manusia itulah yang mengaut keuntungan daripada dasar tersebut.

Hakikatnya, ini bukan masa untuk beretorik atau mempertahankan Melayu sekadar menggunakan 'air liur'. Ketuanan Melayu mesti dihidupkan semula untuk menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati dan disegani sehingga tiada kaum berani memperlekehkan Melayu jauh sekali mempersoalkan hak Melayu untuk terus menerajui tampuk pemerintahan negara.

Kesemuanya itu hanya boleh dilaksanakan jika semua pihak bersatu dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda membangunkan Melayu.

Thursday, November 27, 2008

PERASMIAN GAGASAN PEMUDA EHSAN



Alhamdulillah..
Perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato' Ir Muhammad Bushro bin Mat Johor. Moga ucapan yang diberikan menjadi pemangkin untuk Gagasan merealisasikan matlamat dan objektif sempena pemuafakatan. Terima Kasih YB Dato'.


Barisan kepimpinan Gagasan Pemuda Ehsan bergambar kenang-kenangan bersama YB Dato' dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Sdr. Harisson bin Hassan.

Monday, November 24, 2008

Sekapur Sireh... KETUA CAWANGAN

Bismiallahirahmanirahim, Asalamualaikum, pertama-tamanya bersyukur ke hadrat Ilahi dapat mempertemukan kita di ruangan ini buat julung kalinya. Alhamdulillah cawangan ini berjaya mewujudkan blog ini sebagai satu media untuk memperkasakan Umno dan hubungan silaturahim khasnya ahli-ahli cawangan dan Umno Bahagian Subang amnya. Ucapan terima kasih kepada ahli jawatankuasa yang bekerjasama merealisasikan blog ini, kepada ahli-ahli cawangan di peringkat akar umbi, saya menyeru kitalah UMNO dan UMNO adalah kita. Bersama-samalah kita berjuang demi agama, bangsa dan negara kita yang tercinta, hapuskan perasaan dengki, khianat, fitnah serta perkara yang dibenci oleh Allah swt. Marilah kita bermesyuwarah bagi menyelesaikan segala pemasalahan bangsa. Insyallah dengan wujudnya blog ini akan menjadi wadah perjuangan dan titian untuk Umno Cawangan Taman Bukit Desa membela dan memperkasakan orang-orang MELAYU dalam segala bidang. Semoga dirahmati Allah swt. Insyaallah. Berjumpa di lain lembaran. Wasalam.
Salam Perjuangan Melayu.
Cikgu Suhaimi bin Dahman.

Delete
1 – 2 of 2