Monday, December 22, 2008

Polis minta semua patuhi undang-undang


KUALA LUMPUR 21 Dis. - Polis meminta semua pihak yang terlibat dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini supaya mematuhi undang-undang dan peraturan bagi menjamin kelancarannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan telah diarah mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata, bagi pasukan polis, segala persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu berjalan lancar termasuk keperluan logistik dan keanggotaan mencukupi.

"Saya sudah melawat Kuala Terengganu baru-baru ini dan persiapan sedang dijalankan. Jika semua patuh kepada undang- undang, tidak akan timbul masalah pada pilihan raya kecil ini.

"Kita akan pastikan pilihan raya kecil ini berjalan dengan licin, saya telah arahkan Ketua Polis Terengganu (Shukri) buat keputusan bijak dan tegas berhubung pematuhan undang-undang," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan program merakyatkan seni budaya komuniti beruniform anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Pilihan raya kecil tersebut diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November lalu.

Sebelum ini, Shukri menganggarkan lebih 3,000 anggota polis akan bertugas semasa pilihan raya kecil itu dengan ditempatkan di pusat-pusat mengundi serta beberapa kawasan yang dikenal pasti. - Utusan

p/s: kepada Pemuda UMNO yang bakal menggempur KT.. bawak banyak bersabar. InsyaAllah kemenangan berpihak kepada BN.

No comments: