Monday, March 2, 2009

Abdullah tetap serah kuasa


HUA HIN, Thailand 1 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, beliau tetap berpegang pada rancangan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pemilihan UMNO akhir bulan ini.

“Itu adalah pelan yang telah dibuat dan kita perlu mengikut pelan tersebut,” katanya pada sidang akhbar bersama wartawan antarabangsa selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak serentak dengan penyerahan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini.

Perdana Menteri yang diminta mengulas khabar angin bahawa beliau tidak mahu menyerahkan jawatan itu kepada Najib selepas persidangan UMNO berkata, soal tersebut tidak timbul kerana persetujuan untuk peralihan kuasa telah pun dipersetujui.

Najib dijadual mengambil alih kepimpinan negara selepas Abdullah yang juga Presiden UMNO tidak berhasrat mempertahankan jawatannya.

Najib menjadi satu-satunya calon Presiden untuk pemilihan UMNO Mac ini dan secara tradisinya, Presiden UMNO akan memegang jawatan Perdana Menteri.

Setakat ini tiada tarikh rasmi penyerahan kuasa itu, tetapi beberapa portal berita termasuk The Malaysian Insider dan Malaysia-Instinct.com melaporkan, Abdullah akan melepaskan jawatan Perdana Menteri secara rasmi pada 31 Mac.

Berdasarkan pelan peralihan kuasa yang disebut portal berita berkenaan, Najib kemudiannya akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada keesokannya, 1 April.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah peruntukan dalam bajet mini yang akan diumumkan nanti, Perdana Menteri berkata, ia lebih besar daripada pakej rangsangan sebelum ini.

“Saya tidak boleh menyatakan jumlah pakej tersebut. Tetapi ia lebih besar daripada pakej yang diumumkan pada November lalu.

“Jadi anda semua perlu tunggu kerana ia akan diumumkan pada 10 Mac ini,’’ jelasnya.

No comments: