Sunday, March 15, 2009

MBI roboh plak pokok demokrasi

IPOH 15 Mac — Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini merobohkan plak peringatan ’Pokok Demokrasi’ yang dibina oleh Pakatan Rakyat untuk memperingati peristiwa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri Dr Mah Hang Soon berkata tindakan meroboh plak itu adalah mengikut undang-undang kerana pembinaannya merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyebabkan halangan di tempat awam.

“Saya tidak anggap kes ini sebagai satu kes yang istimewa kerana sebarang pembinaan secara haram tanpa kebenaran MBI akan diambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya mengulas mengenai tindakan pekerja MBI membersihkan kawasan berkenaan pagi ini.

Semalam, MBI mengeluarkan notis mengarahkan pemilik plak ’pokok demokrasi’ yang terletak di Medan Istana di sini supaya merobohkan tugu berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Notis itu ditampal pada pokok hujan berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan dan menjadi tempat persidangan 27 Anggota Dewan Undangan Negeri pembangkang yang gagal memasuki Dewan. Persidangan yang dikatakan tidak sah itu meluluskan tiga usul termasuk pembubaran DUN.

Notis yang ditandatangani Pegawai Undang-undang MBI, Syahrul Azrin Ghazali bagi pihak Datuk Bandar Ipoh menyatakan pembinaan tugu itu menyalahi Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana menyebabkan halangan di tempat awam.

Dua hari berturut-turut sebelum ini, plak berkenaan telah dipecah dan disimbah cat oleh pihak yang tidak diketahui.

Sejak dibina dan penanaman lima anak pokok hujan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin minggu lepas, kawasan berkenan menjadi tumpuan ramai pelawat.

— BERNAMA


p/s: hahahaha... elok la dirobohkan. menyemak mata memandang. dah takde benda nak tarik perhatian rakyat PR ni.. macam ni nak memimpin negara.. ceh.. pigirahhh

Monday, March 2, 2009

Abdullah tetap serah kuasa


HUA HIN, Thailand 1 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, beliau tetap berpegang pada rancangan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pemilihan UMNO akhir bulan ini.

“Itu adalah pelan yang telah dibuat dan kita perlu mengikut pelan tersebut,” katanya pada sidang akhbar bersama wartawan antarabangsa selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak serentak dengan penyerahan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini.

Perdana Menteri yang diminta mengulas khabar angin bahawa beliau tidak mahu menyerahkan jawatan itu kepada Najib selepas persidangan UMNO berkata, soal tersebut tidak timbul kerana persetujuan untuk peralihan kuasa telah pun dipersetujui.

Najib dijadual mengambil alih kepimpinan negara selepas Abdullah yang juga Presiden UMNO tidak berhasrat mempertahankan jawatannya.

Najib menjadi satu-satunya calon Presiden untuk pemilihan UMNO Mac ini dan secara tradisinya, Presiden UMNO akan memegang jawatan Perdana Menteri.

Setakat ini tiada tarikh rasmi penyerahan kuasa itu, tetapi beberapa portal berita termasuk The Malaysian Insider dan Malaysia-Instinct.com melaporkan, Abdullah akan melepaskan jawatan Perdana Menteri secara rasmi pada 31 Mac.

Berdasarkan pelan peralihan kuasa yang disebut portal berita berkenaan, Najib kemudiannya akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada keesokannya, 1 April.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah peruntukan dalam bajet mini yang akan diumumkan nanti, Perdana Menteri berkata, ia lebih besar daripada pakej rangsangan sebelum ini.

“Saya tidak boleh menyatakan jumlah pakej tersebut. Tetapi ia lebih besar daripada pakej yang diumumkan pada November lalu.

“Jadi anda semua perlu tunggu kerana ia akan diumumkan pada 10 Mac ini,’’ jelasnya.